27 March 2010

Usah biar 'Halal' dipermainkan

Usah biar 'Halal' dipermainkan
Harian Metro, 27 Okt 2004

--------------------------------------------------------------------------------

Oleh Saipul Adli Mohamad


KASIHAN ayam! Pasti ramai pengguna terutama di Lembah Klang kini memandang jijik kepada salah satu spesies burung itu.
Pendedahan muka depan akhbar ini Isnin lalu memang mengejutkan. Kerajaan Selangor mengarahkan kilang penyembelihan tanpa lesen di Serdang itu ditutup serta-merta kerana mencampuradukkan daging ayam dan itik yang dibungkus dalam plastik berlogo ‘Halal’ diluluskan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan beratus-ratus ketul anak babi siap diproses.

Selain beroperasi tanpa lesen dan mencampuradukkan daging ayam dan itik dengan anak babi berusia dua minggu, siasatan Jakim turut mendapati ayam yang disembelih di kilang itu melanggar hukum syarak, menyebabkan ia haram dimakan umat Islam kerana menggunakan teknik ‘sembelih cucuk.’

Sembelihan hanya melipat leher ayam dan dipotong dengan gunting, sebelum ayam itu mati kerana direndam air panas atau sebab-sebab lain. Tugas itu pula dilakukan penyembelih Indonesia yang tidak bertauliah.

Difahamkan, ia dibekalkan kepada pasar raya besar di sekitar ibu kota, termasuk kawasan kediaman di Taman Tun Dr Ismail.

Pendedahan itu cukup menggemparkan pengguna Islam negara ini. Tidak cukup dengan ayam import yang belum dipastikan status halal atau haram, di negara sendiri pula berlaku perkara lebih menjijikkan. Tetapi, itulah realiti yang mungkin berlaku sejak sekian lama.

Seorang rakan pernah memberitahu cara membezakan daging ayam disembelih dengan betul atau bangkai. Jika disembelih dengan betul, tiada lagi kesan darah pada tulang ayam apabila ia dimasak.

Kalau ada darah, maknanya sesuatu tidak betul cara penyembelihannya dan mungkin perkara itu betul mengikut pengajiannya.

Apabila satu kes sudah terdedah, bermakna kita tidak dapat menolak banyak lagi kegiatan sama tidak diselongkar. Rasa curiga, syak wasangka dan was-was tidak lagi mampu ditangkis dengan mudah.

Tindakan pengusaha berkenaan memang biadab dan tidak boleh dimaafkan. Kerana tamak dan fikirkan keuntungan, sensitiviti serta rasa hormat kepada agama dan kepercayaan orang lain diketepikan langsung.

Malah tidak mustahil, mereka selesa dengan kejahatan yang dilakukan. Bagi mereka, tidak kisah kalau orang tidak tahu, sama seperti melanggar lampu isyarat merah, tidak salah kalau tiada polis atau kamera perakam.

Sudah pasti mereka sedar perbuatan itu salah dan pengguna Islam dan masyarakat Melayu akan marah. Tetapi, nampaknya perkara yang menimbulkan syak wasangka, kemarahan dan isu perkauman kerana persepsi yang sangat runcing berikutan babi isu kritikal dan cukup sensitif bagi orang Islam, sekali lagi dipermainkan.

Jelas, umat Islam di negara ini sudah terlalu banyak bertolak ansur dan bertoleransi terhadap agama lain, tetapi wajarkah pengusaha terbabit memandang remeh isu ini?

Yang pasti, kes ini sekali lagi memberi tamparan hebat terhadap Jakim. Turut terkena tempias tentulah kerajaan Selangor, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Pertanian. Pihak terbabit perlu berbuat sesuatu untuk mengembalikan semula keyakinan pengguna Islam.

Wajarkah Jawatankuasa Halal dan Haram Jakim yang ditubuhkan pada 1982 dan kemudiannya dikenali Jawatankuasa Makanan Halal dan Barangan Pengguna Islam, diswastakan?

Mungkin, jika hanya itu cara yang boleh memastikan badan berkenaan mampu melakukan pemantauan yang lebih berkesan, telus dan terperinci. Mereka bertindak di atas nama agama dan jelas umat Islam sukar bertolak ansur dalam perkara berkaitan anjing dan babi, biarpun agak lembut menangani isu arak dan judi.

Wibawa Jakim tercabar dan sekali lagi, usah salahkan pengguna kalau mempertikaikan Jakim atau mula mempercayai surat layang atau e-mel berkaitan makanan pengguna sebelum ini.

Jakim meletakkan beberapa syarat khusus kepada pekilang atau rumah penyembelihan ayam bagi memastikan ternakan yang diedarkan kepada pengguna Islam halal.

Pegawai Jakim akan melakukan pemeriksaan dan penilaian terhadap aktiviti pengilang atau rumah penyembelihan ayam sebelum mengeluarkan Sijil Pengesahan Halal Jakim dipohon.

Antara syarat ditetapkan Jakim sewaktu penyembelihan ayam adalah:
  • Setiap ayam dalam keadaan sihat dan bebas sebarang penyakit.
  • Dilaksanakan dalam keadaan baik dan teratur.
  • Hendaklah ayam disembelih itu masih hidup dalam keadaan biasa (hayat mus-taqirrah).
  • Tidak ada mana-mana bahagian anggota binatang dicedera atau dipotong.
  • ‘Stunning’ atau kejutan elektrik boleh digunakan dengan syarat haiwan itu tidak mati akibat stunning yang dilakukan.
  • Penyembelihan hanya dilakukan orang Islam yang sempurna akal dan tahu rukun dan syarat sembelihan.
  • Membaca Bismillah sebelum memulakan sembelihan.
  • Menyembelih dengan alat atau pisau yang tajam dan bukan menggunakan tulang, kuku atau gigi.
  • Memutuskan saluran makanan dan saluran pernafasan. Pendarahan mesti mengalir secara berterusan.
  • Membuat penandaan halal iaitu melekat label halal pada pembungkus.
  • Sekiranya disimpan dalam kontena hendaklah dikunci.

Selain itu aspek kebersihan turut dititik beratkan Jakim terutama sewaktu operasi penyembelihan dan pemprosesan ayam. Ia tidak hanya membabitkan aspek ayam malah meliputi aspek kebersihan diri, pakaian pekerja, peralatan dan kawasan tempat pemprosesan atau membuat makanan.

Tujuannya menjamin makanan yang dihasilkan suci dan tidak membahayakan kesihatan manusia iaitu bebas dari najis, kotoran, benda-benda haram dan tidak suci mengikut hukum syarak.

Jika syarat itu dipatuhi, barulah permohonan mendapatkan sijil pengesahan logo Halal Jakim diluluskan.

Masalahnya, ada pengusaha membawa ayam dan selepas disahkan halal dan diberi logo, mereka gunakan logo yang sama untuk produk lain yang tidak diuji oleh Jakim. Di sinilah silapnya dan kelonggaran itu menyebabkan logo berkenaan disalah gunakan.

Bagi menyelesaikannya dan jika sudah tiada pilihan, mungkin Jakim patut memberhentikan pengeluaran logo Halal kepada pengusaha makanan bukan Islam.

Selain itu, denda lebih mahal kepada individu atau pengusaha yang memperlekehkan logo Halal patut dikenakan berbanding RM150,000 (bagi kesalahan pertama) dan RM250,000 untuk kesalahan kedua bagi individu serta RM250,000 dan RM500,000 kepada syarikat.

Inilah akibatnya apabila bukan Islam dibenarkan menguasai industri pemakanan yang majoriti penggunanya umat Islam. Akibatnya, ayam sekali lagi dipandang hina walaupun ia binatang halal.

No comments:

Post a Comment